Friday, December 23, 2011

sawan beranak

Posted by JaSmIn at 12/23/2011 02:55:00 PM
di petik dr blog

http://www.hamidarshat.com/sakit-puan-informasi-214/152-sawan-beranak.html



"Baru-baru ini saya telah mendapat satu panggilan kecemasan daripada salah sebuah jabatan kerajaan yang memberitahu saya tentang seorang kakitangan wanita daripada jabatan tersebut telah terkena sawan, dan wanita itu sedang menjalani rawatan kesuburan selama beberapa tahun. Saya diberitahu, bahawa seluruh badan wanita tersebut menggeletar apabila terkena sawan. Mulutnya berbuih dan matanya terpusing sehingga dia jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri. Para kaki-tangan di jabatan tersebut tidak tahu berbuat apa-apa melainkan cuba memanggil ambulans dan seterusnya memanggil saya untuk memberi pertolongan cemas. Malangnya, apabila saya sampai ke pejabat tersebut, saya hanya dapat memeriksa dalam waktu yang begitu singkat kerana ambulans telah pun tiba untuk membawa wanita tersebut ke hospital. Apabila saya merasai nadinya dan memeriksa jantungnya, saya dapati wanita tersebut tidak bernyawa lagi. Saya percaya, bahawa wanita tersebut telah menemui ajal ketika dia terkena sawan."

Kejadian ini adalah suatu yang sangat malang, khususnya bagi suami wanita tersebut kerana pasangan tersebut telah berkahwin selama 10 tahun dan telah mencuba untuk mendapatkan zuriat. Tetapi sayangnya, isterinya yang sarat mengandung telah terkena sawan dan telah menemui ajalnya. Dalam kes ini, bukan sahaja satu nyawa hilang, malah dua nyawa kerana bayi dalam kandungan wanita itu turut juga menemui ajal. Beginilah antara risiko terbesar yang boleh berlaku ke atas mana-mana wanita yang sedang hamil. Dari segi hikmah wanita tersebut mati syahid dan Allah S.W.T. menempatkan syurga kepada wanita yang menghadapi maut seperti tersebut. Yang pergi menemui Tuhannya, akan berbahagialah di alam baka tetapi yang ditinggalkan begitu sedih dan pilu, khususnya suami dan saudara maranya.

Dalam kisah tadi, saya ingin mengulas sedikit tentang sawan beranak, dari segi bahaya, tanda-tanda, rawatan dan cara-cara pencegahannya.

Punca “Sawan” Beranak

Sawan beranak merupakan satu kejadian yang tidak asing lagi bagi kita. Ia telah berlaku sejak zaman-berzaman. Hingga sekarang, punca penyakit sawan beranak masih tidak diketahui tetapi terdapat beberapa perkara seperti tanda-tandanya, faktor-faktor yang berkaitan dengannya dan mungkin cara-cara untuk menjauhkannya. Sebenarnya, apabila seseorang wanita terkena sawan ini, keadan penyakitnya adalah tenat. Biasanya, sebelum keadaan ini berlaku, ada beberapa tanda yang patut diingati dan memberi amaran kepada wanita yang hamil untuk berwaspada dan untuk mendapatkan jagaan yang sewajar daripada doktor perbidanan yang merawatnya. Biasanya, sawan beranak boleh meragut nyawa mangsanya walaupun ada juga sebahagian besar terlepas daripada ancaman maut.

Sawan atau eclamptic fits berlaku disebabkan saluran darah di dalam otak pecah menyebabkan pendarahan dan kerosakan otak (cerebral haemorrhage). Pendarahan yang banyak di dalam otak boleh merosakkan fungsi organ-organ terpenting seperti jantung, pernafasan dan lain-lain. Kejadian ini biasanya menyebabkan maut. Dalam kes-kes yang lebih ringan, pendarahan mungkin berlaku hanya sedikit, ataupun tidak berlaku langsung atau setakat kebengkakan otak sahaja (cerebral oedema).

'Sawan' Satu Kecemasan

Tidak semua ibu-ibu yang terkena sawan beranak akan menemui maut, tetapi jika sawan ini berlaku berulang-ulang, risiko maut semakin meningkat. Oleh itu, sebaiknya wanita ini dimasukkan ke hospital sebelum sawan berlaku, ataupun jika sawan telah berlaku ketika di rumah, wanita itu sepatutnya dikejarkan ke hospital. Apa yang penting, orang yang berada di samping perlu mengetahui tentang kaedah menyelamatkan nyawa (resuscitation) kerana wanita yang mengalami sawan ini biasanya tidak akan sedarkan diri. Dalam keadaan demikian, biasanya lidahnya akan tertelan dan seterusnya menutupi kerongkong angin. Oleh itu, penting bagi orang yang berada di sampingnya menentukan bahawa dia tidak menggigit lidahnya dan lidahnya tidak menyekat saluran udara dengan menarik keluar dan seterusnya meletakkan sesuatu benda untuk wanita tersebut menggigit dengan sekuat-kuatnya. Ramai juga yang mati akibat daripada masalah tersekat saluran pernafasan yang disebabkan oleh lidah yang termasuk ke dalam kerongkong. Sawan beranak adalah satu keadaan yang mencemaskan dan ia sepatutnya dikendalikan sebagai satu kes kecemasan. Cara pengendaliannya sama juga seperti orang yang lemas di dalam air, orang yang kena serangan jantung dan lain-lain punca yang menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.


Bolehkah Bayi Diselamatkan?

Kejayaan untuk menyelamatkan bayi bergantung kepada beberapa faktor. Pertama, umur kandungan apabila sawan berlaku. Jika umur kandungan terlalu rendah, iaitu kurang daripada tujuh bulan kemungkinan peluang untuk menyelamatkannya adalah rendah. Kedua, berat bayi tersebut sama ada memuaskan atau tidak; sebaiknya berat bayi patut melebihi lima paun. Ketiga, secepat mana kita boleh melahirkan bayi bagi ibu yang diserang sawan. Cara menyelematkan bayi dalam keadaan ibu yang diserang sawan ialah dengan melakukan pembedahan Caeserean secepat mungkin. Tujuan pembedahan ini ialah untuk menyelamatkan kedua-dua nyawa, bayi dan ibunya. Selagi bayi masih dalam kandungan ada kemungkinan sawan akan berulang lagi kerana kandungan khususnya uri dipercayai mengandungi bahan beracun yang dikeluarkan sekali-sekala ke dalam saluran darah hingga menyebabkan sawan berlaku. Pada masa ini dengan teknologi dan kemahiran menjaga bayi yang lebih canggih, bayi-bayi kecil ataupun bayi-bayi yang tidak cukup bulan (premature) boleh diselamatkan dengan menggunakan teknik-teknik terbaru dengan kaedah rawatan rapi.


Apakah Tanda-Tanda Awal Sawan Beranak?

Sebenarnya penyakit sawan beranak (eclampsia) adalah keadaan teruk bagi penyakit keracunan waktu hamil atau apa yang dinamakan toxemia of pregnancy. Keadaan ini lebih sering melanda ibu-ibu yang mengandung anak sulung, mereka yang berlebihan berat badannya, dan ibu-ibu yang menghidap penyakit darah tinggi. Tanda awal bagi penyakit toksemia atau sawan beranak ialah kenaikan berat badan yang berlebihan semasa mengandung. Kenaikan berat badan wanita yang hamil adalah penting untuk menentukan pertumbuhan bayi yang sempurna. Sebaiknya, kenaikan berat badan ialah setengah kilo seminggu, dan kenaikan berat badan ini sering berlaku selepas mengandung empat bulan kerana ramai wanita tidak mengalami kenaikan berat badan pada tiga bulan yang pertama, malahan ada yang susut berat badannya dalam peringkat awal kandungan. Purata kenaikan berat pada keseluruhan tempoh sembilan bulan kandungan ialah antara 15 hingga 16 kilo. Kenaikan berat badan yang mendadak, khususnya selepas kandungan meningkat enam bulan ke atas adalah tanda awal bagi penyakit toksemia. Apabila kenaikan ini melebihi dua kilo sebulan, wanita patut berwaspada dan mengimbangkan pemakanan mereka dengan mengurangkan makanan yang kaya dengan karbohidrat, gula serta lemak, di samping melebihkan protein dan sayur-sayuran demi untuk mencegah berlakunya toksemia dan seterusnya sawan beranak.

Tanda kedua ialah bengkak kaki (edema) yang mungkin menandakan penyakit toksemia. Bengkak kaki sering berlaku di kalangan kandungan yang normal dan ini menandakan pertumbuhan bayi yang baik, tetapi jika bengkak kaki ini disertai dengan tanda-tanda lain yang akan saya huraikan di bawah, iaitu darah tinggi dan air kencing yang mengandungi albumin, maka bengkak kaki mungkin menunjukkan salah satu tanda bagi penyakit toksemia kandungan.


Air Kencing Yang Mengandungi Albumin

Apabila kerosakan berlaku kepada buah pinggang, maka protein akan terbebas melalu air kencing. Dengan itu, bagi seseorang wanita yang terkena toksemia kandungan akan ditandakan dengan air kencing yang mengandungi albumin. Lebih banyak protein yang terkeluar ke dalam air kencing lebih teruklah keadaan toksemianya, begitu juga lebih teruklah kerosakan kepada buah pinggangnya.

Toksemia kandungan adalah keadaan sebelum berlakunya sawan beranak. Apabila keadaan itu menjadi lebih teruk, maka sawan akan berlaku. Keterukan keadaan ini dapat diukur daripada ketenatan bengkak kaki, tahap kenaikan darah, dan juga banyaknya kandungan albumin dalam air kencing. Wanita-wanita yang mungkin mempunyai tanda-tanda lain seperti pening kepala, sakit pada ulu hati, terasa hendak pitam serta gangguan pada penglihatan. Tanda-tanda tersebut menandakan bahaya akan tiba, khususnya pada wanita yang pernah diserang toksemia atau kenaikan tekanan darah.


Apakah Rawatan Bagi Toksemia Dan Sawan Beranak?

Sebenarnya, tidak ada rawatan yang khusus bagi penyakit toksemia kerana kita tidak tahu apa punca sebenarnya, melainkan wanita tersebut perlu dimasukkan ke hospital untuk pengawasan dan untuk berehat seterusnya untuk mengawal pemakanannya. Wanita yang telah mempunyai tanda-tanda toksemia seperti air kencing yang mengandungi albumin dan bengkak kaki patutlah diberi rehat dengan sebanyak-banyaknya dan jika perlu, dimasukkan ke hospital. Jika keadaan ini masih ringan lagi, dia mungkin boleh diberi rehat di rumah dengan pengawasan yang rapi. Rehat adalah perkara yang terpenting dalam rawatan toksemia.

Tidak ada ubat yang khusus yang boleh mengatasi masalah toksemia. Rawatan yang mutlak bagi keadaan toksemia dan sawan beranak ialah melahirkan bayi dengan secepat mungkin. Cara melahirkannya bergantung kepada tahap ketenatan penyakit tersebut dan umur kehamilan. Jika kehamilan telah cukup bulan, iaitu melebihi 37 minggu kehamilan, bayi perlu dilahirkan dengan secepat mungkin. Jika darah tinggi dan kandungan albumi di dalam air kencing tidak teruk, kelahiran boleh dilakukan secara paksaan (induction of labour). Tetapi, dalam keadaan yang teruk ataupun setelah sawan beranak berlaku, atau di mana keadaan bayi terlalu terancam, rawatan yang sewajarnya ialah pembedahan Caeserean.


Pencegahan

Toksemia atau sawan beranak patutlah dicegah dari awal lagi. Setiap wanita yang mengandung, khususnya mereka yang mempunyai risiko yang tinggi seperti mengandung anak sulung, gemuk badan, berpenyakit ataupun yang mempunyai sejarah keluarga yang bermasalah, patutlah mendapat rawatan daripada doktor pakar. Jagaan kehamilan patut dilakukan mengikut jadual, iaitu setiap bulan dan di peringkat awal sehingga tujuh bulan, kemudian dua minggu sekali diikuti dengan seminggu sekali.

Kebanyakan daripada kes-kes toksemia dan sawan beranak berlaku akibat daripada ibu-ibu datang ke klinik terlalu lambat, atau langsung tidak datang mengunjungi klinik ibu mengandung dan ada pula yang mengunjungi tetapi tidak mengikut jadual.

Jagaan pemakaan bagi ibu yang mengandung adalah sangat penting. Ibu yang mengandung patutlah mengawal makanan yang banyk mengandungi karbohidrat seperti gula, kanji dan lemak. Ramai wanita yang tidak boleh mengawal seleranya setelah kandungan mencapai usia lima bulan ke atas kerana mereka percaya, bahawa mereka makan untuk dua orang dan seleranya pun meningkat pada ketika itu.

Di samping jagaan pemakanan, waktu rehat dan waktu tidur yang mencukupi penting bagi wanita yang sedang hamil. Wanita hamil patutlah menjauhkan diri daripada tekanan fizikal akibat daripada pekerjaan yang berat dan teruk, tekanan mental dan jiwa. Perkara-perkara yang boleh mengganggu perasaan dan mental patutlah dijauhkan dengan kerana ini juga merupakan satu faktor yang boleh menyebabkan terjadinya toksemia dan sawan beranak. Ibu-ibu patut melebihkan masa berehat atau diberi cuti rehat apabila tanda-tanda toksemia mula timbul.

Apabila penyakit toksemia telah berlaku, ibu tersebut patut dimasukkan ke hospital untuk mencegah keadaan tersebut daripada berterusan menjadi sawan beranak. Kebanyakan daripada masalah-masalah toksemia yang teruk serta sawan beranak adalah disebabkan oleh faktor-faktor peribadi dan sosial yang telah saya huraikan di atas. Ada sesetengah wanita pula tidak mahu dimasukkan ke hospital walaupun dinasihatkan berbuat demikian atas sebab tertentu. Ada pula yang suka balik kampung untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.

Saya ingin menekankan, bahawa penyakit toksemia tidak mempunyai ubat yang khusus. Berehat, menjaga pemakanan, fikiran yang tenang dan kelahiran bayi yang tepat pada waktunya adalah perkara-perkara yang terpenting dalam mengendalikan kes seperti ini. Semoga kejadian yang saya ceritakan dalam makalah ini dapat kita elakkan sama sekali.

1 comments on "sawan beranak"

Aleen Aiden on 4:34 PM said...

aaa kesiannya pada keluarga arwah..semoga kita semua dijauhkan segala penyakit dan diberikan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.insyaAllah..

 

Its All bout me... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal